.:Ucapkanlah "ZIKRULLAH" tatkala melawat ke blog ini:.

Saturday, July 30, 2011

Kekasih.. Ku Harapkan Kehadiranmu..





Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu.. merayu kepadaNYA Tuhan yang satu..


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu
solat yang dikerjakan..

sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhambakan diri
menghadap Rabbul Jalil...

menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya

wamamati lillahirabbil 'alamin"
(sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam)

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia-siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau syairkan…

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih.. Berqiamullail.. Bertahajjud
Mengadu... Merintih.. Meminta belas kasih
"Sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurgaMU
tapi... Aku juga tidak sanggup untuk ke nerakaMU"

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari satu malam idaman

satu malam yang cukup istimewa
yang lebih baik dari seribu bulan..

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau akan menyiapkan zahir dan batin
mempersiapkan diri rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan.. lorong-lorong redha Ar-Rahman

Ya Ilahi....
Andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling bererti

Paling bermakna
menerangi kegelapan hati kami
menuju redha serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...
tidak akan ada manusia yang bakal mengetahui
adakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir bagi kita

Tetapi..
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha... bersedia… meminta belasNYA

Ya Allah..

jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa..

Ampunkan dosa2 kami kedua ibubapa kami

dosa semua umat2 islam yang masih hidup

mahupun yang telah meninggal dunia

Amin.....

Maafkan segala khilaf penulis..

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang beruntung..

Sungguh, sebak terlalu dalam menanti kehadirannya..

Yang selalu dirindu, kini hadirmu ku setia menunggu..

Kekasihku Putera Ramadhan.

Terlalu banyak permintaanku yang Allah telah kabulkan dalam masa singkat dan merupakan hadiah yang paling besar dalam hidup.

Allah.. Pemurahnya Engkau.



video



Tuesday, July 26, 2011

Apa Selepas 9 Julai...?



Saksikan panel diskusi di antara:

Datuk Ambiga Sreenevasan

Pegerusi BERSIH 2.0

Datuk Wan Ahmad Wan Omar

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Professor Dato’ Dr Shamsul Amri Baharuddin

Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia

Tarikh:

Selasa, 26 Julai 2011


Masa:

2.00pm – 5.00pm


Tempat:

Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf,

Lot 2, Jln Sepana 15/3,

Off Persiaran Selangor, Shah Alam.

Panel diskusi tersebut adalah dibuka kepada orang awam. Sekiranya anda akan hadir di wacana ini, pakailah warna KUNING sebagai tanda sokongan untuk BERSIH 2.0.

Sekiranya anda tidak dapat hadir, boleh tonton siaran langsung yang akan disiarkan di http://www.mobtv.my/

Monday, July 25, 2011

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!



Tarikh:

Jumaat 29 Julai 2011

Masa:

8:00pm - 11:30pm

Antara Penceramah Muda:

1- Y.B. Puan Rodziah Ismail

(ADUN Batu Tiga)


2- Y.B. Teo Nie Ching

(Ahli Parlimen Serdang)


3- Saudari Kumutha Dewi a/p Raman

(Ketua Wanita DHPP Pusat)


4- Senator Y.B. Mumtaz Md. Nawi

(Ahli Dewan Negara)


SEMUA DIJEMPUT HADIR


Thursday, July 21, 2011

Video Ekslusif Mangsa Superimpose



Hati meronta-ronta nak pergi ke Pusat Tarbiah, Taman Melewar. Ada sesuatu di sana yang pastinya cukup menarik. Alhamdulillah masih diberi keizinan Tuan Pencipta Diri penulis untuk hadir ke Ceramah Perdana & Pelancaran Yellow Saturday pada 16 Julai 2011. Seperti banner di bawah.

Semua penceramah jemputan hadir, hanya YB Nurul Izzah Anwar tidak dapat hadir kerana beliau ada urusan lebih penting ketika itu.

Sebelum ceramah bermula, penulis dan keluarga sempat berjalan-jalan di bazar. Banyak CD ceramah dijual, barangan Islamic. Meriah. Seronok penulis tengok keadaan begini. Dan yang menjadi fokus tumpuan penulis, Abaya. Itu yang penulis cari.

10 minit kemudian ceramah bermula. Dan yang ditunggu-tunggu, penampilan ekslusif mangsa gambar superimpose yang dilakukan oleh Berita Harian iaitu Ajaq (nickname). Bagaimana dia pakai ketika dia bertugas sebagai unit amal di Perhimpunan BERSIH haritu, begitulah dia pakai malam tersebut (lihat gambar di bawah bagaimana pakaiannya). Dia tampil ke depan dalam keadaan muka ditutup, lalu dia membuka kain tersebut mendedahkan dirinya yang sebenar.

Ucapannya cukup tersentuh. "Walaupun badannya tegap, nampak macam garang, tapi hatinya cukup sentimental.". Itu kata-kata Mahfudz Omar. Penulis lihat ramai yang menangis malam tersebut termasuklah penulis. Entahlah, sukar diungkap perasaan malam tersebut. Geram + sedih + semangat semua ada. Rasa sangat kerdil ketika itu.

Diikuti ucapan barisan pemimpin lain dan terkahir ucapan A.Samad Said. Muqaddimah dimulakan dengan bacaan puisi dan diakhiri dengan pengalamanya menyertai BERSIH. Perit jerihnya. Cukup terharu.

Nak tahu apa ucapan mereka, boleh lihat dalam video yang penulis paparkan di bawah.




video



video



We will never stop talking about BERSIH as they said the Democracy has just begun.
This is only the beginning.
Only muqaddimah.

p/s: maaf pada insan yg minta penulis update lama dah, ini baru berkelapangan.

Wednesday, July 20, 2011

Coretan BERSIH disiar


Alhamdulillah, tidak disangka satu artikel/ coretan yang penulis nukilkan secara bersahaja dalam entry penulis yang lepas http://suhaila-annur.blogspot.com/2011/07/jika-itu-ajalku.html (tapi waktu menaip penuh semangat BERSIH lagi hehe) dipilih oleh pihak Merdeka Review untuk disiarkan sebagai artikel pilihan sempena perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 lalu. 709 satu angka yang cukup bermakna dan satu tarikh yang cukup bersejarah bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

Satu lagi catatan 709 yang terharu buat 1Malaysia: Jika itu ajalku..

Semoga sedikit coretan pengalaman akan memberikan satu momentum dan pemangkin semangat buat para PEMUDA. Cetusan provokasi yang dilakukan oleh pihak berkenaan sebenarnya semakin membuka sehelai demi sehelai lembaran kebenaran dan semakin membuka mata rakyat untuk menilai mana kaca dan mana permata. Penulis cukup yakin rakyat mampu buat penilaian yang tepat dan kesimpulan yang cukup hebat dalam menilai semua ini.

Teringat kata-kata A.Samad Said ketika penulis hadir ke ceramah Ekslusif perdana dan pelancaran "Yellow Saturday" di taman Melewar. Katanya:

‎"..Malaysia sudah lama dengan pemimpin TUA.
Biar dikuasai yang MUDA pula.. Kuasa PEMUDA yang akan mengubah negara.."

-Sasterawan Negara A.Samad Said
-Pusat Tarbiah Taman Melewar
16 Julai 2011, 11.35 pm

Jelas dapat dilihat kemaraan pemuda dan kebangkitan pemuda yang berintelektual dan mampu membuat penilaian. Walaupun ramai pemuda yang ditangkap ketika perhimpunan, itu jelas membuktikan ramai golongan muda yang menyertai BERSIH demi mempertahankan negara tercinta dan menghapuskan pemerintahan yang bersifat zalim. Semakin banyak provokasi dan halangan dibuat, semakin tinggi dan membara semangat mereka. Semua itu tidak pernah menmberikan mereka seribu satu alasan untuk luntur semangat dan berundur dari medan. Ya, penulis berani berkata begitu kerana penulis juga sebagai pemuda yang ada jiwa dan darah pemuda dan penulis sendiri mengalami keadaan tersebut. Usah halang jiwa pemuda bila kemaraan kami sudah ke hadapan.

"Kebenaran akan mengatasi kezaliman.."

Ayuh PEMUDA &
RAKYAT!
BERSIHkan negara dari kezaliman dan politik kotor!
Allah ma'akum..


Sunday, July 17, 2011

Jika itu ajalku..

Keadaan jadi lebih genting apabila kami sekeluarga terpaksa berpecah dalam keadaan getir. Ayah penulis di tempat lain, emak penulis penulis di tempat dan penulis di tempat lain. Adik-adik penulis ada bersama penulis. Seorang berumur 11 tahun dan seorang lagi berumur 6 tahun.

Ketika itulah gas pemedih mata ditembak dalam jarak yang jauh dan butiran peluru tembakan tersebut betul2 jatuh di belakang penulis. Sangat hampir dengan penulis. Allah, masa tu yang ada dalam fikiran penulis hanya nak selamatkan adik2 penulis. Kami berlari sambil menyebut AllahuAkbar. Telah penulis pesan pada adik2 ketika dalam perhimpunan tersebut jangan pernah berhenti sebut AllahuAkbar. Dan jika berlaku apa2, kuatkan suara sebut AllahuAkbar. Mereka ikut. Penulis suruh adik penulis yang 11 tahun lari dahulu selamatkan diri. “Amir, lari dulu selamatkan diri cepat! Tingalkan akak, akak nak selamatkan wafi! Lari cepat!” itulah yang keluar dari mulut penulis ketika itu. Penulis tahu adik penulis teragak2. Tapi dia juga tiada pilihan, lalu dia lari dahulu.

Penulis terus lari sambil tangan kanan penulis menutup muka penulis dengan kain basah dan tangan kiri memekup muka adik penulis. Penulis tahu adik penulis tidak berdaya lagi ketika itu kerana kena gas terlalu banyak. Mukanya dah merah, mata dah berair, badan dia dah lemah. Penulis terpaksa gagahi juga memekup mukanya sambil membawanya lari ke tempat selamat. Tapi, setengah perjalanan, penulis pula sudah tidak berdaya dan hampir pengsan. Mata penulis kabur. Tangan kiri masih memekup muka adik penulis, penulis tahu dia lemas tapi penulis terpaksa, sambil tangan kanan penulis menyeluk beg sandang ambil air sebotol untuk diteguk dan menyimbah muka penulis bagi mengurangkan kepedihan. Malangnya, tekak penulis tidak lagi boleh menerima air (tidak boleh telan air). Terlalu sakit akibat sedutan gas yang terlalu banyak.

Allah saja yang tahu waktu tu betapa penulis mengharap sangat padaNya. Sehinggakan penulis sudah niatkan dalam hati sambil berlari, “Ya, Allah jika di sini ajalku, ambillah nyawaku ketika aku mempertahankan agamaMu dan terimalah nyawa pinjaman ini sebagai mati syahid.” Memang penulis redha waktu tu sebab memang dah tak boleh nak bernafas, hampir pitam. Dada rasa terlalu pedih seperti ditucuk pisau.

Di satu selekoh, penulis dengar seorang pemuda cina menjerit ke arah pemuda2 berkopiah putih. “Ada budak! Ada budak dengan seorang wanita. Tolong cepat!” Penulis masih sedar lagi dan terus penulis cakap, “Selamatkan adik saya dulu, tolong dukung dia cepat!” Sebab ketika itu adik penulis dalam rangkulan penulis, lalu pemuda tersebut terus mendukung adik penulis dan bawa lari ke tempat selamat. Dia cukup lemah. Berderai air mata penulis melihat dia dalam keadaan tidak berdaya. Penulis terus selamatkan diri dalam keadaan berlari. Sambil lari, seorang peguam india menghulurkan garam pada penulis. “Dik, ambil garam ni letak bawah lidah cepat, pulihkan tenaga” Katanya pada penulis dalam keadaan sambil berlari. Terus penulis ambil dan kemam garam tersebut.

Sampai di satu kawasan selamat dari gas, penulis terus menerpa ke arah adik penulis. Ketika itu mereka yang ada di sana sedang berusaha selamatkan adik penulis. Tapi penulis dihalang lalu disambut oleh kaum wanita bila penulis hampir rebah ke bumi sebab penulis sendiri dalam keadaan cukup lemah dan ketika penulis sampai, memang penulis sesak nafas. Lalu seorang wanita cina, india dan seorang makcik bertudung labuh menghampiri penulis memberikan bantuan. Wanita cina beri bantuan air untuk diminum dan menjiruskan di muka penulis, wanita india beri garam lagi untuk kembalikan tenaga sambil mengipaskan dan wanita melayu bertudung labuh menggosok belakang penulis sambil menepuk2. Ketika itu kami berada dalam keadaan kehujanan yang membasahi kami. Bayangkan, dalam keadaan tengah2 hujan buat rawatan.

Penulis rasa bertenaga sikit dan dah tersedar dari hampir pitam, lalu penulis terus menerpa ke adik penulis yang sedang diberi bantuan oleh beberapa orang pemuda. Terus penulis capai sebotol air dan jirus ke seluruh tubuh adik penulis yang tidak bermaya dan disuapkan garam ke mulutnya. Lalu penulis memeluk adik penulis untuk beri semangat padanya sambil ucapkan di telinga adik penulis, “Wafi, sebut AllahuAkbar! Allah! Allah! Akak tahu wafi kuat! Ingat Allah wafi! Wafi mesti kuat! Akak ada dengan wafi ni” Itulah yang penulis ucapkan di telinganya dalam keadaan separuh menjerit untuk beri semangat padanya. Perlahan2 bibirnya mengucapkan AllahuAkbar. Hampir berbelas orang mengerumumi kami ketika itu. Yang Islam semuanya mengucapkan AllahuAkbar. Dan yang bukan Islam terus memberi samangat dengan cara mereka tersendiri.

Penulis menatap wajah adik penulis sambil memegang kedua pipinya. Merah mukanya, air matanya mencurah tanpa henti akibat gas tersebut. Nafasnya sesak. Menangis penulis waktu itu menatap wajah adik penulis sambil menciumnya dalam kehujanan untuk beri semangat padanya. Air hujan yang membasahi kami terus hanyut bersama air mata. Sayu. Ketika itu bertalu kamera mengambil gambar kami, tapi semua itu sudah tidak penulis pedulikan, Yang penting adik penulis selamat.

15 minit kemudian, dia kelihatan bertenaga sedikit. Penulis tenung wajahnya lalu dia mampu tersenyum pada penulis. Terus penulis peluk dia. Alhamdulillah syukurnya. Yang lain semua bertepuk tangan bila lihat adik penulis tersenyum. Lalu bergilir-gilir mereka memeluk adik penulis tanpa kira kaum. Subhanallah. Sungguh harmoni. Penulis terkelu lidah, terkesima lihat pelbagai kaum datang beri bantuan dan beri semangat ketika kejadian. Sungguh, penulis rasa bagai satu keluarga yang kukuh ikatan. Tidak rasa langsung seperti orang asing walau berbeza kaum. Masing2 sibuk membantu. Ada seorang makcik menagis melihat keadaan penulis yang berusaha selamatkan adik penulis dan katanya dia juga terharu lihat pelbagai kaum datang beri bantuan. Ya, kami memang umpama mempunyai ikatan keluarga ketika itu.

Setelah agak bertenaga, penulis menggalas beg kerana mereka yang berada di situ mengajak untuk menuju ke tempat yang teduh dari hujan dan lebih selamat lagi kerana ketika itu tempat tersebut hampir dengan sekumpulan polis. Ketika kejadian, kami semua dibasahi hujan tanpa teduhan. Dan hujan itu adalah hujan rahmat buat kami. Itulah bantuan Allah. Penulis berusaha mendukung adik penulis, tapi ditegah oleh seorang pemuda. Katanya “Enti baru pulih, macam mana nak dukung adik”. Tanpa penulis balas percakapnnya, dia terus mengambil adik penulis untuk didukung. Dan yang lain semua berjalan mengelilingi penulis. “Subhanallah bersihnya hati orang2 yang mengikuti BERSIH ini”. Detik hati penulis ketika itu.

Terima kasih buat semua yang membantu. Walaupun kita berlainan agama dan berlainan kefahaman tapi matlamat kita ketika itu sama. Dan sehingga sekarang matlamakt kita selari. Kita semua dalam 1 barisan dan matlamat kita di hadapan.

Sudah jatuh, ditimpa tangga pula.. pihak polis

Bersambung………..

p/s: Sampai sekarang bila tanya "Wafi nak pegi lagi x BERSIH tu? Bersungguh2 dia anggukkan kepala nak pegi. Semangat!


Saturday, July 16, 2011

BERSIH di Puduraya


Perhimpunan yang pada awalnya aman terus bertukar menjadi huru hara selepas FRU datang dan tiba-tiba menyemburkan water canon serta gas pemedih mata. Alhamdulillah penulis sempat lari ke kawasan yang agak selamat. Ketika itu penulis berada di tempat yang tinggi dan boleh Nampak semua apa yang berlaku. Memang, tembakan FRU rambang tanpa mengira kanak-kanak, orang tua yang uzur dan wanita.

Seorang pemuda cina menghampiri penulis dan my mum lalu menghulurkan penutup muka. 5 helai diberikan pada kami bagi elakkan hidu gas berlebiham. Ketika itu ada bersama dnengan penulis 4 orang peguam dan seorang doktor pakar perubatan yang sedang memantau keadaan sambil mencatat sesuatu sebagai pemerhatian mereka. Sempat juga berbual dengan mereka sekejap walau dalam keadaan begitu. Mereka sanggup harungi segala halangan walau dalam keadaan baju berkot, mereka juga menyokong BERSIH.

Lalu kami berjalan menuju ke puduraya. Di sana, subhanallah ramainya orang, kami berjalan lagi untuk menuju ke tempat tujuan utama perhimpunan. Beberapa minit penulis berada di sana, pihak polis mula menghampiri kami. Tetapi rakyat tegar tidak berundur. Kami disekat di hadapan. Perjalanan terhenti. Ketika itu, penulis sedang berjalan dalam keadaan beg tergalas di bahu dan kamera DSLR yang tergantung di leher. Tertoleh ke sebelah kanan penulis, ada seorang warga tua berbaju kuning dan di tangannya memegang bunga warna kuning. Dia senyum pada penulis. Lalu penulis membalas senyuman dan penulis menegurnya. "Wah auntie, bunga kuning, baju pun kuning?" Dan dia balas "HIDUP KUNING!" sambil tersenyum menampakkan barisan giginya dan mengangkat bunga tersebut. Kemudian diangkatnya tangan penulis yang memakai armband BERSIH sambil laungkan BERSIH. Tersenyum bahagia penulis lihat auntie tu.. Rupanya dialah AUNTIE ANNIE yang jadi Heroin Bersih dan cukup terkenal dengan keberaniannya sekarang. Ketika itu, Perundingan dibuat dengan polis supaya memberi jalan tapi sedikitpun tidak diendahkan. Ketika itu, permintaan rakyat secara lembut untuk berjalan dalam keadaan aman juga tidak diendahkan.

Beberapa minit kemudian, penulis yang berada di tengah2 kumpulan lihat ke hadapan, kelihatan mereka sudah lari menuju ke balakang. Rupanya gas pemedih mata telah dilepaskan tanpa mempedulikan perundingan damai kami. YB yang mengetuai perundingan dengan polis bagi memohon laluan jalan dibuka kepada rakyat juga akhirnya ditangkap, rakyat di belakang disembur gas pemedih mata. Ketika ini, tindakan mereka cukup kejam. Janji hanya tinggal janji, sebaliknya racun diberikan kepada kami.

Hilang semburan pertama yang berdas-das tembakan, rakyat kembali semula menuntut dibuka laluan. Tapi kami disembur lagi dengan gas. Ketika itulah hujan mulai turun. Alhamdulillah Allah datangkan pertolongan buat hambaNya. Bantuan hujan daripada Allah membantu mengurangkan dan menghilangkan semburan gas dalam masa yang singkat. Juga dapat mengurangkan kepedihan di kulit apabila terkena gas / water canon. Di mana, jika terkena gas tersebut, ruang pernafasan disekat seolah terhenti, kulit pedih dirasa macam terbakar kena api dan mata tidak mampu dibuka. Water Canon pula kalau kena, boleh menghilangkan tenaga dan akan menyebabkan kegatalan di kulit. Sebab itulah dalam garis panduan peserta BERSIH digalakkan membawa garam supaya boleh memulihkan tenaga.

Satu keajaiban yang benar-benar membuatkan penulis cukup tersentuh seolah mahu sujud ketika itu juga. Apabila setiap kali gas pemedih mata ditembak, setiap kali itulah hujan turun. Bila dah clear gas di udara, hujan mula berhenti. Ditembak lagi gas pemedih mata dan ketika itu juga hujan turun dengan tiba-tiba bersama peluru gas pemedih mata. Keadaan ini berulang selama tiga kali. Subhanallah.. Hampir menangis penulis di situ menyedari Allah begitu hampir dan bantuan Allah tiba pada kami semua. Dengan hujan, dapat mengurangkan kandungan gas yang dilepaskan. Kedengaran ramai yang mengucapkan Alhamdulillah dan menadah tangan bersyukur pada Allah. Sungguh, tersentuuh dengan keadaan sebegitu.

Keadaan lebih genting lagi apabila……….

Bersambung


Thursday, July 14, 2011

BERSIH 2.0 aman lagi..


Sahabat2 sekalian yang meminta penulis update story tentang BERSIH, penulis mohon maaf. Niat nak update tentang BERSIH awal lagi, tapi keadaan tak izinkan kerana keadaan diri kurang sihat. Maaflah ye.

Sudah lamanya semangat berada dalam diri nak hadiri BERSIH apabila dapat memasarkan barang2 BERSIH ke Jordan, Mesir dan yang pastinya di Malaysia juga. Malam 8 Julai, penulis sudah bersedia dengan segala kelengkapan/ barang2 keperluan seperti dalam panduan peserta BERSIH. Pepatah melayu ada mengatakan ’sediakan payung sebelum hujan’.

Paginya, awal2 lagi sudah keluar. Telefon sentiasa di tangan sebab kawan2 semua on call nak tahu perkembangan semasa dan laporkan lokasi, call orang untuk info trafik lagi. Almaklumlah, jalan banyak tutup kan. Highway utara selatan pun ditutup dan dijadikan 1 lorong. Jadi penulis pun ikut jalan Templer. Pun jammed jugak. Terpaksalah hadapi sekatan yang tiada motif langsung, semata-mata pihak polis nak cari baju KUNING dan seolah sengaja menyesakkan keadaan.

Sampai di KL, Allah.. semua jalan ditutup. Jalan2 utama juga ditutup. Pendek kata boleh berkelah di tengah jalan. Cari jalan pintas, juga ditutup. Last solution, penulis dan keluarga meletakkan kereta di Bangsar dan naik LRT turun di Masjid Jamek. KebanyakAN penumpang dalam LRT tersebut semua nak ke Bersih. Dalam gerabak yang penulis naiki rata2 dari kalangan mereka berbisik sesama sendiri. Berhati-hati dalam keadaan. Nak turun di Pasar Seni, polis dah tutup dan buat sekatan. Memang xboleh keluar.

Jadi, kami terpaksa turun di Majid Jamek. Selepas penulis turun di Masjik Jamek dari atas dah nampak polis halau orang. Jadi penulis dan keluarga lalu ikut tepi tangga. Sampai di jalan raya polis dah mula buat sekatan. Ada sorang pak cik yang agak uzur dihalau dan ditengking bagai binatang. Sedih penulis tengok. Padahal pak cik tu tidak buat kekecohan pun dan hanya lalu di kawasan tersebut sambil di tangannya membawa sekalung plastic dan berselipar. Terkebil2 penulis lihat pak cik tu. Sungguh kasihan. Dan penulis dapat tahu train semua dah dibekukan waktu tu. Train yang penulis naik itu adalah train yang terakhir.

Kami terus berjalan masuk ke lorong2 kecil sebagai jalan pintas dari bertembung dengan polis. Sehinggalah kami jumpa dengan kumpulan rakyat yang ramai. Ketika itu cukup aman. Terdapat empat simpang di jalan tersebut. Tiba2 sahaja ramai orang berarak keluar dari lorong tersebut dan berkumpul di tengah-tengah antara simpang. Ajaib pulak rasa. J Kemudian kumpulan besar tersebut dipandu oleh gabungan beberapa tenaga yang berpaut tangan. Semua kaum bersatu tanpa kira agama. Waktu tu, memang semangat penulis dah cukup melonjak. Lensa kamera DSLR penulis terus beroperasi mengambil posisi yang sesuai. Dan terus penulis menarik tangan parent penulis masuk dalam kelompok tersebut. Kami terus mara berjalan sambil bertakbir. Semua kaum bersatu.

Sehinggalah sampai di hadapan menara Maybank, kami bertemu lagi dengan kelompok lain. Bergabung menjadi lebih ramai. Berpuluh ribu. Di situ, 8 perkara tuntutan dilaungkan. Keadaan masih aman lagi tanpa kekacauan. Semua mengikut arahan, sopan, berstrategi dan teratur. Mendengar ucapan Dr Hatta penuh khusyuk. Kedengaran juga tepukan gemuruh. Ketika itu, penulis berada di belakang, nak mencelah masuk ke hadapan terlalu ramai manusia. Di belakang, penulis dengan tekadnya memakai mafla dan lilitan kepala serta mengikat armband di kedua tangan bersama ayah penulis.

Tiba2 sahaja penulis diterjah wartawan untuk ditemuramah dan cameraman yang lain sibuk ambil gambar. Sebab ketika itu hanya penulis satu2nya perempuan yang berani pakai mafla dan lilitan kepala serta armband, sekeluarga pula tu tema kuning. Entahla, tiba2 rasa macam tidak peduli polis yang akan buat tangkapan, bagi penulis bukanlah satu kesalahan pakai benda tu. Kalau ditangkap pun, logiknya tidak termaktub dalam undang2 kesalahan tersebut. Hah, jadi tumpuan sebentar. Ada seorang cina siap buat thumbs up sebagai tanda sokongan. Penulis balas balik sambil tersenyum padanya. Ya, suasana ketika itu cukup meriah. Pelbagai kaum bersatu dan cukup mesra.

Tiba-tiba seorang pemuda cina menegur penulis. “Waa. Hebat, sangat berani! Ada lebih mafla? Beli di mana?” Penulis jawab “Saya supplier, tapi harini saya tak jual, saya nak pakai”. Sambil tersenyum. Cina tersebut tergelak besar. Kebetulan di situ ada juga kaum india dan muslim serta pelancong luar negara yang lain. Mereka menyampuk perbualan kami. Rancak kami bersembang. Mereka semua ramah. Ketika itu, sungguh penulis rasa ada ikatan ukhuwah walau tidak kenal. Tapi bila bersembang dengan mereka, rasa macam dah lama kenal. Mereka cukup mesra dan ramah. Kagum.

Bersambung… Pengalaman lebih mencabar..



Saturday, July 9, 2011

Panduan Peserta Himpunan BERSIH 2.0


*Perkara yang perlu anda bawa/sediakan *

-Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.

-Duit-maksimum RM100 sahaja.

-Memakai pakaian yang sopan-T-shirt /baju berwarna Kuning. Sebaiknya ada logo Bersih 2.0

-Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.

-Aksesori kempen-Button, kopiah, arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya SAHAJA boleh digunakan.

-Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.

-Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.

-Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.

-Ubat gigi untuk sapu di bawah mata untuk mengurangkan kesan-kesan gas pemedih mata.

-Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.

-Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis *N100 Respirator, N95 Respirator *dan* Surgical facemask* untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.

-Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.

-Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.

-Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.

-Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Sekretariat Bersih 2.0. Bawa beg plastik untuk simpan alat-alat elektronik apabila diserang oleh “water cannon”.

*Perkara yang tidak dibenarkan*

-Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.

-Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kredit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.

-Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal yang menghalang pergerakkan.

-Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.

-Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya.

-Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.

-Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 tidak dibenarkan.

-Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.

-Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.

-Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.

-Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.

-Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.

-Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.

*Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan*

-Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.

-Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.

-Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.

-Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.

-Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.

-Maklumkan mereka tujuan anda keluar.

-Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.

-Jangan lupa *charge*bateri handphone dan kamera.

-Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu Stadium Merdeka.

-Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.

-Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.

-Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Stadium Merdeka (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).

-Jangan memakai baju Bersih 2.0 sebelum perhimpunan bermula.

*Semasa perhimpunan dan perarakan*

-Berkumpul di Stadium Merdeka dan tunggu arahan dari *Field Commander* yang dilantik

-Ikutilah arahan dari Marshall Unit Amal sepanjang program.

-Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan Unit Amal.

-Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.

-Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.

-Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.

-Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.

-Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati di jalanraya.

-Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.

-Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.

-Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi *sound system* akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.

-Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.

-Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.

-Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.

-Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email: Setiausaha Bersih 2.0, info@bersih.org

-Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.

*Selepas perhimpunan*

-Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.

-Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila laporkan kepada Setiausaha Bersih 2.0.

-Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik.
Dapatkan maklumat dari Setiausaha Bersih 2.0.

-Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.

-Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.

-Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha Bersih 2.0.

*Apa anda perlu buat jika kumpulan Anti-tuntutan Bersih 2.0 buat Provokasi*

-Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut commander Unit Amal.

-Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.

-Jangan hampiri mereka.

-Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.

-Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.

-Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.


*Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan*

-Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.

-Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.

-Duduk jika pimpinan arahkan.

-Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air *water canon* berwarna kuning.

-Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.

-Ambil gambar mereka jika sempat.

-Buat laporan Polis jika anda dikasari.


*Apa yang anda perlu buat jika ditahan*

SMS HOTLINE

-Jika anda ditahan, hantar SMS (sahaja) ke 013-2102002 dengan butiran seperti Nama penuh, IC no., tempat ditangkap, masa ditangkap dan ke balai polis mana anda dibawa.

-Apabila SMS Hotline diterima, peguam dari Pusat Bantuan Guaman (Legal Aid Centre, LAC) akan diberitahu mengenai tangkapan anda. Peguam akan dihantar ke balai polis yang akan ditahan.

-Peguam dari Pusat Bantuan Guaman akan dihantar ke balai yang anda ditahan. Tempoh masa dari masa anda ditahan sehingga anda dapat berjumpa peguam mungkin akan makan masa yang lama jadi tolong bersabar. Jika ditangkap, beritahu kepada pihak polis bahawa “saya nak jumpa Pusat Bantuan Guan.:

APABILA DISOAL OLEH POLIS

-PengenaIan Anda

-Anda cuma perlu berikan nama, kad pengenalan dan alamat sahaja.

-Seandainya ditanya soalan-soaian lain: Anda boleh bertanya, “Adakah saya ditahan? “

Bilakah anda ditahan

-Anda ditahan apabila anggota polis itu

• menjawab “ya” pada soalan di atas

• beliau tidak membenarkan anda meninggalkan tempat tersebut atau ingin membawa anda ke balai polis

Jika anda tidak ditahan anda boleh berlepas dari tempat tersebut atau enggan mematuhi arahan beliau untuk ke balai polis atau tempat lain jika diarahkan.

Bilakah anda tidak boleh ditahan

-Polis tidak boleh menahan anda semata-mata kerana anda berkemungkinan menjadi seorang saksi dan polis ingin mengambil kenyataan saksi daripada anda (Kenyataan saksi/112).

*Apa yang anda buat selepas dibebaskan*

-Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.

-Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.

-Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.

-Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.

-Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.

-Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.

-Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.

-Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.

-Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.

-Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.

-Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.

Untuk maklumat yang lebih mendalam, sila baca panduan daripada peguam di sini:http://www.lawyersforliberty.org/wp-content/uploads/2011/07/Panduan-Undang-Undang-Hak-Untuk-Berhimpun.pdf

Related Posts with Thumbnails