Sekadar untuk difikirkan bersama, bukan menghukum mana-mana pihak. Suka untuk diingatkan, penulis tidak sesekali memandang enteng mana-mana golongan atau memusuhi sesiapa selagi tidak bercanggah.
Siapa tidak tahu kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung sekarang? Dari kanak-kanak hinggalah ke warga emas, baik lelaki mahupun wanita, tanpa mengira keturunan, pangkat, kaya atau papa, boss atau driver, baik mereka yang tinggal di singgahsana kekuasaan yang serba mewah mahupun mereka yang tidur hanya beratapkan langit, baik mereka yang tinggal di negara maju mahupun mundur, malah tidak keterlaluan jika dikatakan hampir kesemua penduduk bumi tahu akan kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali ini.
Begitulah hebatnya Piala Dunia, ibarat sihir yang memukau seluruh manusia! Apa yang menyedihkan kita ialah terdapat begitu ramai dari kalangan umat Islam yang turut terkena sihir ini. Berapa ramai yang matanya terpaku di depan televisyen dan lidah mereka akan dibasahi dengan ‘zikir’ bola sepak setiap pagi, petang dan malam. Setiap Muslim pencinta bola tidak leka dan lalai dari mengetahui perkembangan perlawanan. Rasanya tidak afdhal jika tidak berbicara tentang bola di dalam setiap pertemuan dengan kawan-kawan.
Piala Dunia yang berlangsung 11 Jun - 11 Julai 2010 ini telah menjadi satu magnet besar yang yang dapat menarik perhatian sebahagian besar penghuni planet bumi. Tidak hanya itu, Piala Dunia ini telah berjaya mengubah ’pola hidup’ manusia di mana secara sedar atau tidak, mereka akan menyesuai atau‘melaraskan’ jadual hidup mereka dengan kejohanan tersebut.
Paling tidak, dalam sebulan ini, ramai penduduk dunia akan mengubah pola menonton televisyen, termasuk mengubah pola tidur, pola perbelanjaan dan pola perbincangan. Malah ramai yang tidak berpuas hati jika hanya menonton di rumah. Mereka sanggup ke kedai atau ke mana-mana tempat yang ada skrin besar dan menontonnya beramai-ramai untuk ‘merasakan’ suasana dan aura perlawanan umpama berada di stadium.
Piala Dunia ibarat sebuah sihir yang nyata. Gara-gara bola, ramai orang boleh lupa akan penderitaan diri sendiri, apatah lagi penderitaan orang lain. Setidak-tidaknya buat sementara waktu segala penderitaan seolah-olah tiada dan tidak pernah ada. Mereka tidak peduli lagi dengan isu-isu yang berlaku di luar bola. Kalau ada pun yang peduli, jumlahnya hanya sedikit sahaja.
Di kalangan umat Islam, sihir bola sepak telah berjaya memukau para pengusaha Arab yang berlumba-lumba membeli kelab bola sepak. Mereka rela menghamburkan wang mereka berbilion-bilion hanya untuk membeli sebuah kelab bola sepak. Syeikh Mansour membeli Manchester City dengan harga RM1 billion. Suliman al-Fahim membeli Portsmouth sebanyak RM353 juta. Dan dilaporkan bahawa Putera Faisal bin Fahd bin Abdullah dari Saudi berniat membeli Liverpool dengan nilai RM1.84 billion. Sungguh ironi keadaan ini, di saat umat Islam menderita di seluruh dunia, para Kapitalis ini sibuk menghamburkan harta kepada suatu yang sia-sia. Masyarakat Arab bertambah gila bola sejak masuknya Arab Saudi ke pusingan akhir Piala Dunia 1998.
Stadium-stadium bola sepak di negara Arab selalu penuh dengan penonton dengan masing-masing mempunyai kelab kesukaan (favourite club) masing-masing. Sungguh mengaibkan kerana terdapat banyak peristiwa di mana pengulas perlawanan bola melaungkan takbir ‘Allahu Akbar’ ketika pemain membuat jaringan, walaupun penjaring gol itu adalah orang kafir!
Kapitalisme Di Sebalik Piala Dunia
Kali ini (2010), giliran Afrika Selatan pula untuk menjadi tuan rumah kepada sukan bola sepak terbesar dunia ini. Sekali fikir, sungguh aneh bagaimana negara semiskin Afrika Selatan boleh terpilih untuk menjadi hos kepada temasya berprestij ini. Dari segi infrastruktur, sebenarnya Afrika Selatan masih belum siap. Negara itu termasuk negara penghutang yang besar, tapi kenapakah negara paling selatan itu berhasil menjadi penyelenggara kejohanan besar empat tahun sekali ini? Untuk menjayakan Piala Dunia yang pertama di benua Afrika ini, Afrika Selatan mesti menyediakan 10 buah stadium sedangkan yang sedia ada hanya lima buah, itupun tidak memenuhi syarat dengan pelbagai kekurangannya.
Mahu tidak mahu, lima buah stadium baru terpaksa dibina dan yang sedia ada diperbaiki. Kos keseluruhannya mencecah berbillion dolar. Soccer City Stadium sahaja melebihi RM1.4 billion. Justeru, bagaimana hal ini boleh dijayakan jika tidak adanya campur tangan dari para Kapitalis? Semua tahu bahawa Afrika Selatan masih berada di bawah bayang-bayang Barat. Walaupun majoriti penduduk negara itu adalah berkulit hitam, namun yang menguasainya adalah kulit putih. Melalui tangan Kapitalis global berkulit putih inilah kesemua rancangan dapat disiapkan sebagaimana dirancang.
Dalam waktu dua tahun, semua stadium berjaya disiapkan. Para pekerja kulit hitam dikerah bekerja siang dan malam sehingga terjadi mogok yang melibatkan lebih kurang 70,000 pekerja kerana tidak berpuas hati dengan jumlah gaji yang diterima berbanding jam kerja yang melampau.
FIFA selaku organisasi bola sepak dunia adalah mastermind kepada semua perkara. Boleh dikatakan semua perkara yang melibatkan piala dunia ini tidak boleh dilakukan kecuali dengan izin FIFA. “FIFA adalah satu-satunya pihak yang yang meraih untung dari Piala Dunia”, keluh Grant Abramhamse, seorang pengusahakeychain yang ingin mengeluarkan rantai kunci khas Piala Dunia namun tidak dibenarkan FIFA untuk menjual produknya kerana dikatakan bertentangan dengan hakcipta.
Sebuah headline media setempat menulis judul besar “Welcome to the Republic of FIFA” (Selamat datang ke Republik FIFA) sebagai bentuk perli yang menggambarkan kekecewaan warga Afrika yang merasakan badan bola sepak dunia itu telah memegang kendali (kuasa) atas segala yang berkaitan dengan Piala Dunia. FIFA mendapat hak memerintahkan pemberhentian segala produk yang berlambangkan Piala Dunia. Di samping mengurus pemasaran, kesemua sembilan buah kota di Afrika di mana berlangsungnya kejohanan, diwajibkan terikat dengan peraturan FIFA yang mengatur segala aktiviti termasuk di luar stadium.
Dilaporkan bahawa badan bola sepak gergasi itu telah mengajukan 451 kes dakwaan pelanggaran pemasaran, mulai dari industri penerbangan hinggalah ke produk gula-gula. FIFA memberi alasan bahawa ini adalah usaha untuk melindungi penaja rasmi yang telah membenamkan modal mereka untuk mendapat hak eksklusif Piala Dunia.
Ketua Eksekutif Piala Dunia 2010, Danny Jordaan menjangkakan bahawa FIFA akan memperolehi keuntungan sebesar USD3.5 bilion dari Piala Dunia kali ini. Keuntungan juga akan dikaut oleh rakan niaga FIFA mulai dari syarikat penerbangan rasmi, hak penyiaran rasmi, hotel rasmi dan lain-lain penaja besar rasmi lagi. Pengeluar alatan sukan Adidas misalnya dijangka mengaut keuntungan USD1.7 bilion, demikian pula dengan Nike, Puma dan Umbro yang dikatakan bakal mengaut nilai yang hampir sama.
Tidak sekadar itu, keuntungan juga bakal dikaut oleh syarikat pengeluar kondom. Ini kerana, pemerintah Afrika Selatan memerlukan sejuta kondom kerana sekitar 40 ribu pelacur dijangka akan ‘hadir’ sama bagi memeriahkan temasya. Ini belum lagi termasuk pengeluar minuman keras yang bakal meraih keuntungan yang mungkin jauh lebih besar. Apatah lagi ‘pengusaha’ judi yang bakal menjadi juara dalam meraih keuntungan yang paling besar, bukan sahaja di Afrika, malah di seluruh dunia. Pasar judi di Britain sahaja mengharapkan dapat meraih lebih 1 bilion pound sterling.
Hatta di Malaysia pun, para Kapitalis judi, dan kerajaan judi Malaysia akan mendapat keuntungan besar dengan ‘usaha baik’ Kementerian Kewangan yang telah menghalalkan judi bola di sepanjang kejohanan Piala Dunia ini. Pendek kata, yang menjadi juara di dalam Piala Dunia sebenarnya adalah para Kapitalis!
2 comments:
sokong artikel nie. tq to penulis blog ni bg facts brguna n sedarkn sume.
Ur welcome..
Post a Comment