.:Ucapkanlah "ZIKRULLAH" tatkala melawat ke blog ini:.

Friday, July 2, 2010

Kematian..


Menghirup segala nikmat hidup yang ada di saat ini. Tiada siapa mengetahui saat kematian yang menjadi janji yang pasti Allah bagi setiap insan yang bernyawa. Malangnya ramai di kalangan kita masih menanti dan berkira-kira dengan kehidupan yang tak pasti dan melupakan saat kematian yang pasti. Janji mati yang pasti itu disebut oleh Allah di dalam Al-Quran,

"Setiap nyawa pasti akan merasai kematian"

Tapi malangnya kita, yang pasti itu kita tidak bersedia, malah yang tidak pasti itu panjangkan angan-angan padanya.

Mengingati kematian adalah suatu tindakan bijak yang diiktiraf oleh Nabi Muhammad SAW di dalam sabdanya,

"Sepintar-pintar manusia ialah orang yang mengingati kematian dan sentiasa bersedia untuk menghadapinya mereka itulah orang-orang yang bijaksana mereka telah pergi dengan membawa penghormatan dunia dan kemuliaan akhirat."

Mengingati kematian bukanlah mendorong kita untuk berhenti melakukan usaha keduniaan, sebaliknya menjadikan kita lebih berhati-hati dengan gerak kerja dunia ini kerana setiap apa yang kita lakukan itu pasti memberi kesan untuk kehidupan selepas kematian kita. Orang yang mengingati mati tidak akan khianat kerana mereka bimbang dengan balasan perbuatan tersebut. Mereka lebih berintegriti kerana nilai kejujuran mereka tidak diikat dengan kebendaan yang bersifat binasa, sebaliknya ikatan keyakinannya pada penantian yang pasti iaitu KEMATIAN.

Mengingati kematian juga menjadikan kita tidak tunduk kepada syahwat yang buta dan menyesatkan. Ia menjadi satu peringatan yang sangat berharga buat semua insan dari yang bergelar raja sehingga rakyat biasa dari yang kecil hinggalah yang besar agar tidak sewenangnya melampiaskan syahwat untuk kesenangan hidup semata-mata. Sabda Nabi SAW:

"Perbanyakkanlah mengingati mati kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang melakukan dosa dan menjadikannya berzuhud dalam urusan dunia"


Ia juga mampu menjadi sebaik penasihat untuk diri kita. Penasihat yang tiada apa kepentingan dengan diri kita seperti yang disabdakan dalam hadis yang lain ,

“Cukup mati itu menjadi penasihat ( menginsafkan)”

Orang yang tenggelam dengan urusan dunia dan terpesona dengan tipu dayanya hatinya akan lalai dari mengingati mati. Kalaupun ingatannya kepada kematian menimbulkan rasa kesedihan, kesedihan itu hanya digerakkan oleh rasa sayang dan kasih untuk meninggalkan segala kesenangan keduniaan. Namun bagi mereka yang benar taubatnya kepada Allah akan sentiasa memastikan dan menjaga dirinya dari kembali kepada dunia yang membinasakan. Mereka yang yang mengenal hakikat dirinya pula pasti akan mengingati mati pada bila-bila masa, kerana baginya kematian adalah detik indah bertemu dengan kekasihnya Allah Rabbul Jalil.

Kembali merenung pada diri ini. Bagaimanakah diriku, engkau dan kita semua ? Apa yang kita kejar selama ini adakah untuk kehidupan atau untuk kematian. Jika kita masih belum mampu menghilangkan kecintaan kita kepada dunia, janganlah sampai dunia itu membelenggu kita untuk mengingati kematian. Insafilah diri di saat ramai insan yang kita kenali telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Bagaimana mereka dan bagaimana pula kita nanti ? Bayangkan, andai apa yang kita lihat itu berlaku ke atas diri kita bagaimana kita akan menghadapi saat-saat begini . Jangan tertipu dengan badan anda yang sihat kerana mati tidak semestinya dengan penyakit dan jangan juga tertipu dengan umur yang muda kerana mati tidak semestinya di kala tua . Ya allah .. Ampunkanlah segala dosa kami..

Satu hari nanti, inilah tempat kita

0 comments:

Related Posts with Thumbnails