.:Ucapkanlah "ZIKRULLAH" tatkala melawat ke blog ini:.

Saturday, May 1, 2010

Soalan 1: KASIH SAYANG dalam ISLAM..

Sepertimana yang penulis janjikan, penulis akan menjawab segala soalan yang dihantarkan kepada penulis sepanjang penulis dalam final exam lepas. Cuma penulis memerlukan sedikit masa untuk merungkai segala persoalan. Ini adalah soalan pertama yang penulis akan jawab. Semoga penjelasan ini akan memuaskan.

Apakah yang kita terbayang andai kita terbaca perkataan ‘KASIH SAYANG’? Sudah tentu kita akan gambarkan perasaan cinta mencintai. Bukankah begitu? Ok, mari kita lihat sedikit kupasan megenai kasih sayang..

Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim yang mengamalkannya dalam kehidupan.. Penulis percaya, setiap insan mahu diri mereka disayangi kan? Oleh itu wujud sistem kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan kasih sayang ini untuk kehidupan yang aman damai.. Apabila sifat kasih sayang mula luntur ditambah pula sifat dendam dan kebencian, ianya akan menjanjikan kehancuran kepada sesuatu bangsa atau masyarakat..

Dalam ajaran Islam terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam. Pernah Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi:

“Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri.”

Inilah sebabnya baginda Rasulullah s.a.w menyatupadukan golongan Aus dan Khadraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang. Malah kehadiran orang Muhajirin disambut dengan hati yang terbuka oleh orang Ansar, dengan penuh rasa simpati dan kasih sayang yang amat mendalam.. Sifat pengorbanan juga jelas kelihatan di kalangan para sahabat yang sanggup berkongsi apa jua kesenangan dan kesusahan di kalangan mereka… Inilah faktor utama kewujudan sebuah masyarakat dinamik yang muncul di tengah Kota Madinah, walaupun kota tersebut sebelum ini diselaputi dengan prasangka buruk dan kebencian sesama Arab Madinah.. Malah ia juga dapat meningkatkan taraf dan kedudukan masyarakat Arab Madinah yang sebelum ini hanya bekerja sebagai petani dan peladang, kepada suatu kedudukan yang dihormati. Peranan orang Muhajirin yang banyak berkongsi pengalaman dan kemahiran juga telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan masyarakat Kota Madinah. Itulah besarnya kuasa kasih sayang yang dipupuk dalam Islam..

Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan tolerensi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh. Kota Madinah pernah diserang oleh musuh, namun dengan semangat kerjasama dan pengorbanan yang tinggi, dapat ditangkis segala serangan tersebut. Kalau sebelum ini Kota Madinah telah dikuasai ekonomi dan maruahnya oleh orang Yahudi, maka kehadiran Muhajirin telah membantu umat Islam ketika itu meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka untuk berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh… Akhirnya ladang dan harta orang Ansar yang tergadai ke tangan orang-orang Yahudi itu telah dapat mereka tebus kembali. Mari kita lihat sabda Baginda Rasulullah:

“Orang Mukmin ibarat sebuah bangunan yang masing-masing berpaut satu sama lain.”

Apabila kita meninjau akan kelemahan kita masa kini serta perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam, puncanya ialah kita tidak lagi meletakkan semangat kasih sayang dalam pergaulan kita seharian.. Apa akibatnya? Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat dan negara Islam itu sendiri.. Bukankah perkara sebegini amat menguntungkan musuh-musuh Islam, lagi memudahkan mereka merampas hak dan tanah air kita dengan cara memperalatkan sesama kita? Ayuh, bukalah mata.. Ini tanah air kita.. Ini maruah agama kita.. Pertahankan!

Masyarakat yang kita harapkan ialah sebuah masyarakat yang penuh dengan semangat kasih sayang serta kerjasama, dapat mengembalikan maruah dan kekuatan perpaduan sesama Muslim. Apa yang penting ialah nilai-nilai kasih sayang perlu diberi perhatian utama dalam pembentukan sahsiah Muslim, seterusnya diserap dalam keluarga dan masyarakat kita.

Sifat-sifat keji yang menjurus kepada kebencian hendaknya kita hindari dari terus tersemat di dalam masyarakat kita. Antara sifat buruk itu ialah suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya. Ini ternyata akan merugikan kita kelak dan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri melarang sifat buruk tersebut. Baginda dengan tegas telah menyatakan di dalam sabdanya:

“Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.”(Riwayat Tarmidzi)

Akibatnya lahirlah satu gerakan yang bermula dari individu, seterusnya menjadi satu golongan yang besar yang membawa kepada rasa kebencian sesama kita demi kepentingan individu tertentu.. Maka ketika itu amat mudahlah musuh mengeksploitasikan orang Islam untuk kepentingan mereka. Maka jatuhlah kerajaan dan negara umat Islam.. Masihkah kita terleka dengan keadaan ini? Masihkah kita dibuai mimpi yang indah?

Oleh itu marilah kita bersama-sama dengan semangat KASIH SAYANG yang pernah menjanjikan kebahagiaan kepada kita dan melupakan segala kesengsaraan… Biarlah kita semai diri setiap kita dengan hati yang jujur lagi ikhlas, dengan ajaran yang murni.. Semoga berkekalan hingga ke generasi anak cucu kita seterusnya. Banyak tanggungjawab kita yang belum selesai dan sesungguhnya kebencian tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa pun..

Sebagai keseluruhan kesimpulan penulis, kasih sayang membentuk jiwa dan hati kita supaya menjadi halus dan suka kepada kedamaian dan kesejahteraan. Semoga semangat itu terus menjadi teras pembina akhlak kepada kita semua.. Biarlah cerita dan andaian ke arah kebencian antara kita dihentikan. Semoga tidak merosakkan hati kita dan pelapis2 kita yang akan datang..

Amal yang terbaik adalah seperti Nabi Muhammad SAW,
yang menjanjikan jaminan hidup dunia dan akhirat,
Aturlah hidupmu dengan sunnah Rasulullah SAW,
Sinarilah hidupmu dengan ayat suci Al-Quran,
Cergaskan badanmu (zahir dan batin) dengan solat,
Didiklah akalmu dengan memperbanyakkan berfikir tentang kebesaran Allah SWT...

Semoga kita semua dalam kasih sayang Allah…

1 comments:

Awo said...

nice gan,, visit http://berbagi-indah.blogspot.com

Related Posts with Thumbnails