.:Ucapkanlah "ZIKRULLAH" tatkala melawat ke blog ini:.

Tuesday, September 21, 2010

Fenomena Istiqbal Musytari


Dalam kemeriahan umat Islam menyambut hari raya di bulan Syawal, berlaku beberapa fenomena astronomi di langit. Diantara fenomena yang ditonjolkan dan tersenarai sebagai fenomena menarik pada September ini ialah istiqbal (opposition) Musytari. Jika pada 22 Mac telah berlaku istiqbal Zuhal (lihat Dewan Kosmik Mac 2010), pada 21 September ini berlaku istiqbal Musytari. Istqbal ialah fenomena apabila kedudukan jasad samawi dalam keadaan bertentangan dengan Matahari dilihat dari Bumi atau sudut longitud samawi ialah 180 darjah. Planet Musytari merupakan planet yang kelima dari Matahari dan yang paling besar dalam sistem suria dengan diameter 143,000 km dan isipadunya 1321 kali ganda Bumi. Istiqbal Musytari ini adalah yang paling menarik dalam tempoh pusingan orbitnya 12 tahun (lebih tepat lagi 11.86 tahun). Ini bermakna ia bergerak dalam tempoh satu tahun ialah 1/12 bahagian dari orbitnya di langit. Dalam tempoh tersebut ia melalui satu kawasan buruj zodiac dan tahun 2010 ia berada secara puratanya dalam buruj Aquarius. Buruj Aquarius terletak di antara buruj Capricon dan Pisces. Istiqbal kali ini orbit Musytari hanya satu darjah selatan dari ikliptik (laluan Matahari) dan jaraknya lebih dekat dibandingkan dengan jarak purata dari Matahari. Jarak puratanya dari Matahari ialah 5.2 A.U (1 A.U ialah jarak Bumi-Matahari, 150,000,000 km). Oleh itu planet ini kelihatan lebih besar dan terang kali ini. Saiznya ialah 50" dan magnitudnya ialah -2.9. Dengan magnitud tersebut menjadikan ia objek yang paling terang di langit sepanjang malam selain Bulan. Istiqbal Musytari kali ini berlaku pada jam19:00 waktu tempatan 21 September. Ia berada tinggi di langit pada altitud 72 darjah di tengah malam dan boleh dilihat sepanjang malam. Pada malam ini turut diterangi oleh cahaya Bulan kerana Bulan hampir purnama.

Dengan menggunakan binokular atau teleskop kecil kita boleh melihat jaluran di planet ini. Jaluran ini mudah dilihat terdapat di tengah atau khatulistiwa, di utara dan selatan khatulistiwa planet ini. Jaluran ini sebenarnya adalah atmosfera Musytari. Planet ini merupakan satu bebola gas yang besar yang terdiri dari terutamanya gas Hidrogen dan Helium dan berputar dengan laju. Kelajuan putarannya sedikit berbeza di khatulistiwa dengan di utara dan selatan khatulistiwa. Ini mengakibatkan jaluran awan di atmosfera. Jaluran ini selari dengan khatulistiwa planet ini dan dibahagikan kepada beberapa band yang berwarna. Band yang cerah dinamakan zon dan yang gelap dinamakan tali pinggang (belts).

Satu lagi ciri menarik yang boleh dilihat di atmosfera planet ini ialah tompok raksaksa merah (great red spot). Tompok ini berbentuk bujur terletak di tali pinggang, 22 darjah selatan khatulistiwa. Saiz tompok ini sangat besar, sebab itu ia dipanggil tompok raksaksa, lebar Utara-Selatan ialah 14,000km dan Timur-Barat diantara 24,000 - 40,000 km. Tompok ini sebenarnya adalah ribut anti siklon dengan arah putaran lawan arah jam dan putaran awan ribut ini mencapai ketinggian sehingga 8 km. Dari pemerhatian yang telah dibuat oleh saintis saiz tompok ini telah berkurangan, sehingga kini saiznya hanya separuh jika dibandingkan dengan 100 tahun dahulu. Dengan menggunakan teleskop kecil kita boleh melihat empat satelit utamanya iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callistro mengikut susunan jarak dari Musytari. Io paling dekat dan Callistro paling jauh dengan jarak 420,000 km dan 1,880,000 km masing-masing. Sehari selepas istiqbal, satelit Europa melintasi Musytari dan menyebabkan bayangnya jatuh ke atas atmosfera planet ini, sama seperti kejadian gerhana Matahari di Bumi apabila bayang Bulan jatuh ke atas permukaan Bumi.

Info dari: Falak Syar'ie Malaysia..

Terima kasih juga untuk penasihat Kelab Astronomi yang penulis anggotai kerana memaklumkan dan menerangkan dengan panjang lebar tentang fenomena ini kepada penulis.

Jadi pembaca yang dikasihi sekalian, sama-sama kita saksikan fenomena istiqbal Musytari malam ini bermula jam 12 a.m ke atas.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails