.:Ucapkanlah "ZIKRULLAH" tatkala melawat ke blog ini:.

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha 1430H..


Sepertimana yang kita tahu, stiap tahun pada bulan Zulhijjah, jutaan umat Islam mengunjungi Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Tentunya ada saudara mara terdekat readers sendiri yang menunaikan haji pada tahun ini..

Pada setiap 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban... Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya di samping menyembelih binatang ternakan seperti unta dan lembu untuk dikorbankan. Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Sempena hari mulia yang bakal menjelang esok, penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Adha' buat semua muslimin dan muslimat.. Tentunya umat Islam yang berada di Mekah lebih merasai kehadiran Hari Raya Korban.. Dan sambutan di sana lebih meriah..


Ok, mari kita selami kisah yang berlaku di sebalik nama 'Hari Raya Korban ini'...
Dalam sejarah, menurut Al-Quran dan kitab perjanjian lama, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil.
Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Kedua saudara ini lalu menyediakan korbannya. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud menenangkan persengketaan tersebut.

Nabi Ibrahim A.S setelah selesai membangun Kaabah di kota Makkah telah dapat perintah untuk berkorban dengan menyembelih putera tunggal kesayangannya. Sebagai manusia biasa, perintah mengorbankan anak kesayangannya amat berat untuk dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS. Lebih-lebih lagi beliau dikurniakan cahaya mata setelah usianya lanjut, hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar.. (Ibu bapa mana yang xsayangkan anak kan).. Namun dengan hati yang berat, Nabi Ibrahim AS menyampaikan juga berita itu kepada puteranya Ismail mengenai mimpinya itu.

Di dalam Al-Quran Surah as-Saffat: 102 maksudnya,

"...Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?"
Sebagai seorang anak yang taat kepada perintah Allah SWT, Nabi Ismail AS telah menjawab dengan tenang dan menyakinkan, sebagaimana maksud ayat al-Quran:
..."Wahai ayahku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar."(as-Saffat:102).
Dalam suasana yang mengharukan itu, Nabi Ismail meminta ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan bersedia menyembelih. MasyaAllah, sungguh kuat dan teguh iman mereka..
Pada saat itu Allah telah menunjukkan kekuasaanNya dan menggantikannya dengan seekor kibas(kambing biri-biri jantan) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Semenjak itulah Nabi Ibrahim AS melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan. Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban sebagai syiar Islam sebagaimana yang kita laksanakan pada setiap hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik.
Kisah Nabi Ibrahim dan puteranya menunjukkan betapa bersedianya mereka, bapa dan anak dengan rela hati dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.
Sanggupkah kita melakukan pengorbanan seperti mereka?
"JAGALAH ALLAH, ALLAH PASTI AKAN MENJAGAMU"


2 comments:

Mohd Farid said...

Assalamualaikum, salam 'Eduladha!

Faridrashidi.com

Ummul Syaukatul Suhaila said...

Wkmsalam w.b.t..
Salam 'Eidul Adha juga..
Barakallah..

Related Posts with Thumbnails